Impian Malaysia dari kaca mata DAP
12hb Januari 2016
oleh Nicole Tan Lee Koon
Pada 9 Januari 2016,
saya sungguh bertuah kerana dapat menghadiri Persidangan Kepimpinan Pakatan
Harapan yang penuh bersejarah apabila perjanjian dasar bersama ditandatangani dan
dilancarkan. Pakatan Harapan perlu menjadi kuat, bersatu dan teguh untuk
memenangi pilihan raya terpenting iaitu PRU 14 akan datang. UMNO amat terdesak
saat ini sehingga bergabung tenaga dengan PAS untuk mengaburi mata rakyat
Malaysia, terutama orang Melayu demi meneruskan hegemoni mereka dengan cuba
memecah-belahkan keutuhan Pakatan Harapan.
Kuasa telah
merosakkan UMNO sepenuhnya.
Kini, mereka sampai
ke tahap yang mereka tidak peduli sama ada dipandang buruk ataupun tidak.
Mereka tidak peduli kerana mereka mengalami perubahan sistematik daripada
sebuah kerajaan ‘busuk’ kepada kerajaan teruk dan akhir sekali kepada sebuah
kerajaan zalim. Sebuah kerajaan zalim yang membenci pembangkang. Mereka
melayan pembangkang seperti musuh.
Daripada melibatkan
diri dengan debat sihat bersama pembangkang, kerajaan zalim sebaliknya
menggunakan sumber negara (contohnya wang pembayar cukai) untuk memanipulasi
media massa. Cuba lihat laporan terpilih milik The Star, NST, Utusan, TV3 dan
RTM. Mereka bertindak seperti jurucakap kerajaan. Sebuah kerajaan zalim
yang menggunakan taktik kotor seperti 3R (Religion-Agama, Race-Kaum dan
Rulers-Pemerintah) untuk menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat. Kerajaan
zalim, malah sanggup mengkhianati kaumnya sendiri untuk terus kekal di tampuk
pemerintahan.
Kini, UMNO dan PAS
bergabung tenaga untuk mengulangi pembohongan kononnya DAP sebuah parti
berasaskan Cina. Mereka mengulangi pembohongan kononnya DAP sebagai anti-Melayu
dan anti-Islam. Mereka mengulangi pembohongan bahawa jika Barisan kalah dalam
Pilihan Raya Umum akan datang, orang Melayu kehilangan hak dan kuasa mereka.
Propaganda ala Nazi
Inilah yang cuba
diulangi UMNO tanpa bosan agar rakyat percaya bahawa pembohongan itu satu
kebenaran. Kesan propaganda ala Menteri Propaganda Nazi, Joseph Goebbels:
mengulangi sesuatu pembohongan sehingga menjadi kebenaran.
Menurut statistik
yang dinyatakan oleh Lim Kit Siang dalam ucapan beliau di Seremban pada 10
Januari 2015 di majlis makan malam Adun Senawang, P Gunasekaran, dari 1970
hingga 2000, demografi di Malaysia menunjukkan bahawa jumlah penduduk Melayu
meningkat daripada 44 peratus kepada 55 peratus; Cina menurun daripada 34
peratus kepada 24 peratus dan India menurun daripada 19 peratus kepada 7
peratus.
Beliau juga
mengatakan ada 114 kerusi majoriti-Melayu daripada 162 kawasan pilihan raya
parlimen di Semenanjung. Menurut statistik itu, bagaimanakah mungkin golongan
Melayu hilang kekuasaannya di negara ini? Lagipun, ada lebih ramai ahli
Parlimen Melayu selepas kebangkitan Pakatan. Ia penting untuk Pakatan Harapan
tidak terjerumus ke dalam perangkap mereka dengan tidak meletakkan calon Melayu
DAP di kawasan kubu Melayu.
Pembohongan yang
diada-adakan UMNO dan PAS berniat untuk memperdaya golongan Melayu. Ia taktik
berbahaya dan jahat. Ia bukan setakat merendah-rendahkan kebijaksanaan orang
Melayu tetapi merendah-rendahkan orang Melayu secara umumnya.
Sekiranya pembohongan
itu dipercayai, ia satu kerugian besar buat Melayu.
Isu 1MDB belum selesai
Sebelum ini, Najib
mengatakan bahawa kerajaan tewas dalam perang persepsi (tanggapan) berkenaan
1MDB. Dia mendakwa rakyat hanya percaya kepada pembohongan tentang 1MDB dan
bukannya perkara sebenar. Kini, mesej Tahun Baru Najib atau pembohongan
terbarunya ialah 1MDB bukan lagi satu isu. Isu 1MDB telah diselesaikan.
Wujudkah mana-mana rakyat Malaysia berfikiran waras yang bersetuju akan hal
ini?
Di manakah wangnya?
Siapakah yang memberi wangnya? Ke manakah wang itu pergi? Apakah motif mereka
yang dipanggil sebagai penderma itu? Berapa ramaikah yang ‘menderma’ wang
berkenaan? Di manakah baki wang itu? Semua soalan itu sedang berlegar
dalam minda setiap masyarakat Malaysia yang berfikiran waras. Isu 1MDB
semestinya belum selesai. Kita perlu ulang soalan tanpa jemu sehingga kita
dapat jawapannya: “Di manakah RM 2.6 billion itu?”
Bagaimanakah caranya
untuk kita membalas kembali hujah kotor seperti DAP anti-Melayu atau
anti-Islam? Sejak hari pertama, DAP bersumpah untuk menjadi sebuah parti untuk
semua kaum, tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya. Kita
perlu bertindak balas ke atas kempen jahat mereka secara efektif dengan
mengulangi komitmen kita untuk menjadi sebuah parti untuk semua, tanpa mengira
kaum, agama dan negeri, tanpa jemu.
Kita perlu
mempertahankan diri kita dengan fakta dan angka untuk meredakan ketakutan
rakyat bahawa kononnya kebangkitan DAP mengakibatkan kehilangan kuasa politik
orang Melayu. Ini cara terbaik untuk melawan kempen sebegitu. Inilah
impian DAP buat Malaysia. Untuk semua kaum dan agama!
*Penulis merupakan Ahli
Majlis Eksekutif Kebangsaan (NEC) Wanita DAP dan Ahli Jawatankuasa DAP
Negeri Sembilan
http://www.roketkini.com/2016/01/12/impian-malaysia-dari-kaca-mata-dap/