Kita berada di ambang pilihanraya. Sudah menjadi wajib saya ditujukan soalan
cepumas yakni "Bila pilihanraya ?" Setiap kali, saya akan menjawab
"Kita kena tanya Rosmah". Akan tetapi saya merasa bosan selepas
memberikan jawapan yang sama sejak 3 tahun yang lalu. Oleh yang demikian, saya
terpaksa mencari satu jawapan yang lebih menarik. Sekarang, saya akan Tanya balik
"Adakah anda tahu kedai mamak ada satu roti baru yang dipanggil Roti Najib?".
Roti Najib adalah roti biasa atau roti tanpa telur. Najib tiada telur atau
tidak berani untuk menetapkan PRU 13.
Saya
berpendapat bahawa sebenarnya kita telah menemui formula yang terbaik
untuk menukar kerajaan. Sebelum PRU 12, 11 pilihanraya yang sebelum itu,
terpahat dalam fikiran rakyat bahawa BN tidak dapat dikalahkan kerana 3
parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP pergi haluan
bersendirian, masing-masing.
Parti-parti
komponen Pakatan Rakyat (PR) iaitu PKR, PAS dan DAP mesti bersatu-padu. Umpama
seberkas kayu lidi yang diikat tidak mudah dipatahkan tetapi lidi yang dilerai
dari ikatan, sebatang demi sebatang senang dipatah. Jika kita tidak bersepakat,
kita akan menjadi lemah tetapi jika kita bersatu-padu, kekuatan kita adalah
teguh dan padu.
Sebelum 2008, PAS hanya kuat di Kelantan dan Terengganu di mana terdapat
majoriti orang Melayu. Manakala DAP hanya kuat di kawasan majoriti orang Cina
di kawasan bandar dan separuh bandar. Manakala, PKR kuat di kawasan campuran
separuh luar bandar. Ketiga-tiga parti
pergi laluan sendiri. Menyebabkan BN bermaharajalela sekian lama.
Menjelang
2008, lahirlah PR. Apabila PAS, PKR dan DAP bermuafakat / bertahaluf, maka PR
dapat memenangi 5 negeri. Sekarang 4 sebab Perak mengalami rampasan kuasa (coup
d’etat). Undi popular PR mengatasi BN di Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak
51%. Ombak tsunami 2008 terhenti di sempadan negeri saya iaitu, NS dan Melaka.
Tak dapat melepasi NS dan Melaka kerana adalah tembok yang kuat iaitu tembok
Rosmah. Tetapi selepas 2008, rakyat di selatan (NS, Melaka dan Johor) nampak bahawa BN boleh dikalahkan.
Maka perubahan berlaku dengan begitu hebatnya di selatan. NS Himpunan
Kebangkitan Rakyat (HKR) pada 3 Nov 2012. Kira-kira 30,000 orang hadir dalam
Himpunan Kebangkitan Rakyat di padang Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan.
Padang yang digenangi air dan berlumpur, tidak mematahkan semangat penyokong-penyokong
PR. Mereka sanggup berpayung dan berbaju hujan serta berdiri di tengah padang
sewaktu hujan renyai bagi mendengar ceramah daripada pemimpin-pemimpin Pakatan
Rakyat. Di Melaka pula, Ketua Menteri Melaka, Lori Gostan berlagak seperti
Jaya Lalitha iaitu Ketua Menteri Tamil Nadu, India. Jaya Lalitha mengadakan
satu kenduri besar-besaran dengan jemputan seramai ratusan ribu. Rupa-rupanya,
kenduri tersebut merupakan kenduri yang paling akhir sebelum Jaya Lalitha kalah
dalam pilihanraya selepas itu. Inilah nasib yang akan menimpa Lori Gostan.
Johor yang merupakan "fixed deposit" BN juga mengalami suatu
perubahan yang begitu hebat kerana ceramah-ceramah yang di anjurkan oleh
Pakatan Rakyat dihadiri oleh puluhan ribu orang setiap kali. Tambahan lagi,
daripada 26 kerusi di Johor, 18 kerusi adalah kerusi bukan majoriti Melayu
iaitu lebih daripada 60% orang bukan Melayu. Sekarang, soalan yang
dibertanyakan bukan MCA ada berapa kerusi tetapi MCA tinggal berapa orang?
Bukan
saja PR berjaya memenangi negeri-negeri tersebut, terdapat
laporan-laporan Ketua Audit Negara sejak 2009 sehingga 2012 kelmarin
menunjukkan pengurusan fiskal yang baik oleh semua 4 negeri yang dikuasai PR
iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah dari segi perolehan
pendapatan. Negeri-negeri PR terus mendapat pujian Ketua Audit Negara
berdasarkan petunjuk imbangan perolehan dan mengawal kadar hutang di samping
berusaha meningkatkan pendapatan kerajaan negeri masing-masing. Ini bermakna PR
bersedia untuk memenangi Putrajaya pada PRU 13 nanti. Bolehkah kita menang PR ?
Saya fikir tidak begitu senang. Ini adalah kerana UMNO/BN merupakan parti yang
paling kotor di dunia.
UMNO/BN
berada dalam keadaan lemas nak hilang kuasa. BN, yang ketandusan peluru,
sering menggunakan taktik kotor dengan membangkitkan isu-isu 3R (Race,
Religion, Rulers) iaitu Perkauman, Agama dan Raja. BN menggunakan taktik
kotor dengan mempermainkan isu perkauman supaya memecah belahkan
kami. Mana BN semasa PAS dalam keadaan yang lemah ? Mengapa tiba-tiba UMNO
"sayang" dekat PAS ? Asyik nak Muzakarah ("unity talk")
dengan PAS ? Nik Aziz atau Tok Guru kata orang mukmin tidak akan dipatuk ular
yang sama dalam lobang yang sama ("one does not get bitten by the same
snake from the same hole twice").
Berikut
adalah propaganda-propaganda BN. Isu
Perkauman : Kalau PR menang, DAP dominan, Malaysia akan jadi Negara Kristian. BN
mengadakan taklimat-taklimat secara tertutup yang melibatkan Jabatan Islam
terhadap guru-guru. “Tertututp” maknanya mereka tidak membenarkan rakaman
video, gambar atatupun suara. Pada hakikatnya, jumlah orang Kristian di Negara
in kurang daripada 10 peratus. Hanya orang bukan Melayu yang boleh beragama
Kristian. Selain daripada Kristian, ada orang bukan Melayu yang beragama Hindu,
Sikh, Buddhist, Taoist dll. Kebanyakan ahli dan pemimpin DAP bukan Kristian.
Maknanya hanya minoriti dalam minoriti sahaja yang beragama Kristian. Untuk
meminda Perlembagaan di Parlimen perlu 148 suara. Untuk tukar agama resmi
daripada Islam ke Kristian perlu 148 suara. DAP hanya ada 28 kerusi. PAS, PKR
dan UMNO akan sokong kah?
Di NS
pula, terdapat taklimat tertutup yang dikendalikan oleh pegawai polis di
kawasan-kawasan FELDA yang targetnya terutamanya orang-orang tua. Kalau PR
menang, DAP dominan. DAP akan jadi Menteri Besar (MB). Termaktub dalam Perlembagaan
NS bahawa MB mesti seorang Melayu yang
beragama Islam. Ada orang yang tanya saya “Kalau Anthony Loke kahwin gadis
Melayu ?”. Saya berpendapat bahawa jikalau
seorang Cina kahwin dengan seorang Melayu lalu menganut Islam, beliau masih
tidak diiktirafkan sebagai Melayu. Ini adalah kerana walaupun beliau telah menganuti
Islam syarat-syarat yang lain seperti bertutur Bahasa Melayu dan mengamalkan
tabiat orang Melayu tidak dipatuhi.
Baru-baru
ini ada satu cerita yang paling baru. Anwar akan jadi Perdana Menteri untuk
sementara saja atau satu penggal saja. Selepas itu , Lim Guan Eng akan jadi
Perdana Menteri. Artikel 43 mengatakan Perdana Menteri seorang yang mendapat
kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat. DAP dengan 28 kerusi boleh jadi
majoriti ke? Sudah berkali-kali DAP keluar dengan kenyataan bahawa DAP tidak
mempunyai aspirasi untuk menjadi Perdana Menteri.
Chua Soi Lek
(CSL) pula meraban tahap gaban. Dia kata di depan orang Cina bahawa jikalau
Pakatan menang, PAS dominan. Hudud akan dilaksanakan. UMNO yang kononnya
pembela Islam tidak membantah setiap kali CSL dan konco-konconya menghina Islam. Mengapa takut
hudud jikalau kita tidak berdosa atau berbuat salah? Walaubagaimanapun, hudud
tidak terkandung dalam Buku Jingga yang merupakan perjanjian (Common Policy
Framework) yang mengikat ketiga-tiga parti PR.
Hak Islam
: Kawan-kawan bukan Islam saya ada satu dilemma. Isu kalimah
“Allah”. Baru-baru ini Sultan Selangor bertitah bahawa kalimah
“Allah” adalah khas untuk orang Muslim saja. Jikalau orang bukan
Islam tidak dibenarkan menyebut kalimah Allah, bagaimana dengan lagu negeri
Selangor ? Mesti ada satu versi baru untuk orang bukan Islam ataupun bila
sampai kalimah Allah semua orang bukan Islam terpaksa membisu untuk seketika.
Padahal Tok Guru dan Tuan Guru sudah mengesahkan bahawa orang bukan Islam pun
ada hak untuk menggunakan kalimah Allah kerana kalimah Allah merupakan bahasa
Arab yang digunakan sebelum kedatangan Islam.
Saya juga
menghadiri Muktamar PAS di Kota Bahru Nov, 2012. Saya berkenalan dengan Ketua
Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS, Kumutha Raman. Kumutha merupakan calon
PAS. Adakah UMNO mencalonkan seorang bukan Melayu ? Parti-parti PR jauh lebih
progresif daripada BN.
Nampaknya, PR pula memupukkan
perpaduan dan mengharapkan masyarakat majmuk dan berbilang kaum di Malaysia
hidup secara aman damai dan berharmoni. Rakyat sudah tentulah mahu melihat
masyarakat berbilang kaum Malaysia dengan tiga kaum utama, Melayu, Cina dan
India dan berpuluh-puluh etnik yang lain di Sabah dan Sarawak hidup "Bagai
Aur Dengan Tebing". Kerajaan BN pula memecahkan perpaduan. Siapa yang
lebih layak jadi kerajaan ? Sudah sampai masanya PR mengambil
peranan sebagai kerajaan.
Daripada
muafakat Pakatan, kita telah membuat satu Perjanjian yang terkandung dalam Buku
Jingga. Kita kata tiga perkara asas dan yang cukup penting untuk pembentukan negara
kita yang kita akan tetap dipertahankan selepas (bukan jika) PR
membentuk kerajaan. Pertamanya, agama resmi adalah agama Islam. Keduanya,
kedudukan raja-raja Melayu dan kedudukan istimewa bumiputera dalam Perkara 153.
Ketiga, bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Ketiga-tiga
perkara ini tidak akan dicabar dan akan dipertahankan !
Tuai padi
antara yang masak,
Agar
tidak layu-layuan,
Bohongi
Rakyat tidak Nampak,
Di peti
undi baru ketahuan !
Bangkit,
bangkit, bangkit Rakyat ! Hidup, hidup, hidup Pakatan !
Ini
kalilah, Jom Ubah !