Wednesday 6 February 2013

Ini Kalilah, Jom Ubah !!



Kita berada di ambang pilihanraya. Sudah menjadi wajib saya ditujukan soalan cepumas yakni "Bila pilihanraya ?" Setiap kali, saya akan menjawab "Kita kena tanya Rosmah". Akan tetapi saya merasa bosan selepas memberikan jawapan yang sama sejak 3 tahun yang lalu. Oleh yang demikian, saya terpaksa mencari satu jawapan yang lebih menarik. Sekarang, saya akan Tanya balik "Adakah anda tahu kedai mamak ada satu roti baru yang dipanggil Roti Najib?". Roti Najib adalah roti biasa atau roti tanpa telur. Najib tiada telur atau tidak berani untuk menetapkan PRU 13. 

Saya berpendapat bahawa sebenarnya kita telah menemui formula yang terbaik  untuk menukar kerajaan. Sebelum PRU 12, 11 pilihanraya yang sebelum itu, terpahat dalam fikiran rakyat bahawa BN tidak dapat dikalahkan kerana 3  parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP  pergi  haluan bersendirian, masing-masing.


Parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) iaitu PKR, PAS dan DAP mesti bersatu-padu. Umpama seberkas kayu lidi yang diikat tidak mudah dipatahkan tetapi lidi yang dilerai dari ikatan, sebatang demi sebatang senang dipatah. Jika kita tidak bersepakat, kita akan menjadi lemah tetapi jika kita bersatu-padu, kekuatan kita adalah teguh dan padu.

Sebelum 2008, PAS hanya kuat di Kelantan dan Terengganu di mana terdapat majoriti orang Melayu. Manakala DAP hanya kuat di kawasan majoriti orang Cina di kawasan bandar dan separuh bandar. Manakala, PKR kuat di kawasan campuran separuh luar bandar. Ketiga-tiga  parti pergi laluan sendiri. Menyebabkan BN bermaharajalela sekian lama. 

Menjelang 2008, lahirlah PR. Apabila PAS, PKR dan DAP bermuafakat / bertahaluf, maka PR dapat memenangi 5 negeri. Sekarang 4 sebab Perak mengalami rampasan kuasa (coup d’etat). Undi popular PR mengatasi BN di Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak 51%. Ombak tsunami 2008 terhenti di sempadan negeri saya iaitu, NS dan Melaka. Tak dapat melepasi NS dan Melaka kerana adalah tembok yang kuat iaitu tembok Rosmah. Tetapi selepas 2008, rakyat di selatan (NS, Melaka  dan Johor) nampak bahawa BN boleh dikalahkan. Maka perubahan berlaku dengan begitu hebatnya di selatan. NS Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) pada 3 Nov 2012. Kira-kira 30,000 orang hadir dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di padang Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan. Padang yang digenangi air dan berlumpur, tidak mematahkan semangat penyokong-penyokong PR. Mereka sanggup berpayung dan berbaju hujan serta berdiri di tengah padang sewaktu hujan renyai bagi mendengar ceramah daripada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Di Melaka pula, Ketua Menteri Melaka, Lori Gostan berlagak seperti Jaya Lalitha iaitu Ketua Menteri Tamil Nadu, India. Jaya Lalitha mengadakan satu kenduri besar-besaran dengan jemputan seramai ratusan ribu. Rupa-rupanya, kenduri tersebut merupakan kenduri yang paling akhir sebelum Jaya Lalitha kalah dalam pilihanraya selepas itu. Inilah nasib yang akan menimpa Lori Gostan. Johor yang merupakan "fixed deposit" BN juga mengalami suatu perubahan yang begitu hebat kerana ceramah-ceramah yang di anjurkan oleh Pakatan Rakyat dihadiri oleh puluhan ribu orang setiap kali. Tambahan lagi, daripada 26 kerusi di Johor, 18 kerusi adalah kerusi bukan majoriti Melayu iaitu lebih daripada 60% orang bukan Melayu.  Sekarang, soalan yang dibertanyakan bukan MCA ada berapa kerusi tetapi MCA tinggal berapa orang?

Bukan saja PR berjaya memenangi  negeri-negeri tersebut, terdapat laporan-laporan Ketua Audit Negara sejak 2009 sehingga 2012 kelmarin menunjukkan pengurusan fiskal yang baik oleh semua 4 negeri yang dikuasai PR iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah dari segi perolehan pendapatan. Negeri-negeri PR terus mendapat pujian Ketua Audit Negara berdasarkan petunjuk imbangan perolehan dan mengawal kadar hutang di samping berusaha meningkatkan pendapatan kerajaan negeri masing-masing. Ini bermakna PR bersedia untuk memenangi Putrajaya pada PRU 13 nanti. Bolehkah kita menang PR ? Saya fikir tidak begitu senang. Ini adalah kerana UMNO/BN merupakan parti yang paling kotor di dunia.

UMNO/BN berada dalam keadaan lemas nak hilang kuasa. BN, yang ketandusan peluru, sering menggunakan taktik kotor dengan membangkitkan isu-isu 3R (Race, Religion, Rulers) iaitu Perkauman, Agama dan Raja. BN menggunakan taktik kotor dengan mempermainkan isu perkauman supaya memecah belahkan kami. Mana BN semasa PAS dalam keadaan yang lemah ? Mengapa tiba-tiba UMNO "sayang" dekat PAS ? Asyik nak Muzakarah ("unity talk") dengan PAS ? Nik Aziz atau Tok Guru kata orang mukmin tidak akan dipatuk ular yang sama dalam lobang yang sama ("one does not get bitten by the same snake from the same hole twice").

Berikut adalah propaganda-propaganda BN.  Isu Perkauman : Kalau PR menang, DAP dominan, Malaysia akan jadi Negara Kristian. BN mengadakan taklimat-taklimat secara tertutup yang melibatkan Jabatan Islam terhadap guru-guru. “Tertututp” maknanya mereka tidak membenarkan rakaman video, gambar atatupun suara. Pada hakikatnya, jumlah orang Kristian di Negara in kurang daripada 10 peratus. Hanya orang bukan Melayu yang boleh beragama Kristian. Selain daripada Kristian, ada orang bukan Melayu yang beragama Hindu, Sikh, Buddhist, Taoist dll. Kebanyakan ahli dan pemimpin DAP bukan Kristian. Maknanya hanya minoriti dalam minoriti sahaja yang beragama Kristian. Untuk meminda Perlembagaan di Parlimen perlu 148 suara. Untuk tukar agama resmi daripada Islam ke Kristian perlu 148 suara. DAP hanya ada 28 kerusi. PAS, PKR dan UMNO akan sokong kah?

Di NS pula, terdapat taklimat tertutup yang dikendalikan oleh pegawai polis di kawasan-kawasan FELDA yang targetnya terutamanya orang-orang tua. Kalau PR menang, DAP dominan. DAP akan jadi Menteri Besar (MB). Termaktub dalam Perlembagaan NS  bahawa MB mesti seorang Melayu yang beragama Islam. Ada orang yang tanya saya “Kalau Anthony Loke kahwin gadis Melayu ?”. Saya  berpendapat bahawa jikalau seorang Cina kahwin dengan seorang Melayu lalu menganut Islam, beliau masih tidak diiktirafkan sebagai Melayu. Ini adalah kerana walaupun beliau telah menganuti Islam syarat-syarat yang lain seperti bertutur Bahasa Melayu dan mengamalkan tabiat orang Melayu tidak dipatuhi.

Baru-baru ini ada satu cerita yang paling baru. Anwar akan jadi Perdana Menteri untuk sementara saja atau satu penggal saja. Selepas itu , Lim Guan Eng akan jadi Perdana Menteri. Artikel 43 mengatakan Perdana Menteri seorang yang mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat. DAP dengan 28 kerusi boleh jadi majoriti ke? Sudah berkali-kali DAP keluar dengan kenyataan bahawa DAP tidak mempunyai aspirasi untuk menjadi Perdana Menteri.

Chua Soi Lek (CSL) pula meraban tahap gaban. Dia kata di depan orang Cina bahawa jikalau Pakatan menang, PAS dominan. Hudud akan dilaksanakan. UMNO yang kononnya pembela Islam tidak membantah setiap kali CSL  dan konco-konconya menghina Islam. Mengapa takut hudud jikalau kita tidak berdosa atau berbuat salah? Walaubagaimanapun, hudud tidak terkandung dalam Buku Jingga yang merupakan perjanjian (Common Policy Framework) yang mengikat ketiga-tiga parti PR.

Hak Islam : Kawan-kawan bukan Islam saya ada satu dilemma. Isu kalimah “Allah”.  Baru-baru ini Sultan Selangor bertitah bahawa kalimah “Allah” adalah  khas untuk orang Muslim saja. Jikalau orang bukan Islam tidak dibenarkan menyebut kalimah Allah, bagaimana dengan lagu negeri Selangor ? Mesti ada satu versi baru untuk orang bukan Islam ataupun bila sampai kalimah Allah semua orang bukan Islam terpaksa membisu untuk seketika. Padahal Tok Guru dan Tuan Guru sudah mengesahkan bahawa orang bukan Islam pun ada hak untuk menggunakan kalimah Allah kerana kalimah Allah merupakan bahasa Arab yang digunakan sebelum kedatangan Islam.

Saya juga menghadiri Muktamar PAS di Kota Bahru Nov, 2012. Saya berkenalan dengan Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS, Kumutha Raman. Kumutha merupakan calon PAS. Adakah UMNO mencalonkan seorang bukan Melayu ? Parti-parti PR jauh lebih progresif daripada BN.

Nampaknya, PR pula memupukkan perpaduan dan mengharapkan masyarakat majmuk dan berbilang  kaum di Malaysia hidup secara aman damai dan berharmoni. Rakyat sudah tentulah mahu melihat masyarakat berbilang kaum Malaysia dengan tiga kaum utama, Melayu, Cina dan India dan berpuluh-puluh etnik yang lain di Sabah dan Sarawak hidup "Bagai Aur Dengan Tebing". Kerajaan BN pula memecahkan perpaduan. Siapa yang lebih layak jadi kerajaan ?  Sudah sampai masanya PR mengambil peranan sebagai kerajaan.

Daripada muafakat Pakatan, kita telah membuat satu Perjanjian yang terkandung dalam Buku Jingga. Kita kata tiga perkara asas dan yang cukup penting untuk pembentukan negara kita yang kita akan tetap  dipertahankan selepas (bukan jika) PR membentuk kerajaan. Pertamanya,  agama resmi adalah agama Islam. Keduanya, kedudukan raja-raja Melayu dan kedudukan istimewa bumiputera dalam Perkara 153. Ketiga, bahasa Malaysia sebagai  bahasa kebangsaan. Ketiga-tiga perkara ini tidak akan dicabar dan akan dipertahankan !

Tuai padi antara yang masak,
Agar tidak layu-layuan,
Bohongi Rakyat tidak Nampak,
Di peti undi baru ketahuan !

Bangkit, bangkit, bangkit Rakyat ! Hidup, hidup, hidup  Pakatan !
Ini kalilah, Jom Ubah !




1 comment:

  1. Tapi pakatan punya manifesto banyak tipu maa..

    ReplyDelete